Jom Solat Jemaah

Rabu, April 25, 2012

Kasih IBU adalah anugerah dari Allah



Dalam kehijauan rimba, kedengaran suara keriuhan sekumpulan monyet meloncat-loncat keriangan. Seekor ibu monyet memeluk kedap bayi kecilnya yang sedang menyusu.  Tiba-tiba ‘pang’!! Satu das tembakan terkena pada ibu monyet.  Mungkin ditembak oleh pemilik kebun tempat mereka mencari sesuap makanan. Ibu monyet tidak marah, tidak juga memikirkan dirinya, tapi dia terus mencari jalan untuk menurunkan anaknya secepat mungkin dari pokok itu. Risau jika sang anak turut diapa-apakan oleh insan makhluk Allah yang jarang mengerti. Perut ibu monyet yang tembus oleh peluru tadi merah dibasahi darah pekat. Si ibu turun perlahan-lahan dari pokok yang tinggi tanpa menghiraukan perit sakit. Apa yang dirisaukan nya ialah jika si anak kecil yang masih menyusu terlepas dari tangannya lalu terjatuh dari pokok.Apabila mendarat di tanah, si ibu hanya mampu bersandar pada batang pokok sambil menyusu anaknya. Kepada Pemilik Alam lah diserahkan nasib anaknya itu. Lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dalam sebuah hutan yang tebal, dedaun rimbun bergerak-gerak dikacau sang angin. Kedengaran bunyi kicauan anak-anak burung yang kelaparan, menunggu giliran untuk disuap makanan oleh ibu mereka. Nampaknya anak-anak burung masih kelaparan, mungkin kerana kesejukan hari hujan. Lalu si ibu terbang ,pasrah meninggalkan anak-anak kecil dalam sarang yang dibinanya dengan dedaun kering dan ranting-ranting kayu halus. Semoga kukuh sarang itu. Semoga tiada pemangsa yang datang memakan anak-anaknya. Semoga tiada angin kuat yang memusnahkan sarang nya itu. Tanpa sebarang jaminan keselamatan, sekuriti, insuran nyawa, orang gaji atau gerigil besi, si ibu burung terbang jauh meninggalkan anak-anak untuk mencari makanan bagi memenuhi keperluan anak-anak kecilnya. Apa yang perlu dirisaukannya? Allah sudah menjaga mereka. Kerana setiap masa dia bertasbih memuji Allah.

Ibu burung memberi anak-anaknya makan

Di sebuah gurun yang kering dan panas, siapa yang  kecil menjadi mangsa kepada besar,ganas lagi rakus. Tiada erti belas. Kerana mereka cuma melengkapi ekosistem kehidupan. Iaitu makan untuk hidup. Jika rantaian makanan terputus, maka pupuslah mereka. Seekor harimau bintang yang kelaparan mengaum mencari mangsa. Nasibnya baik kerana mendapat seekor ibu beruk pada hari itu. Setelah kenyang melahap tubuh si ibu beruk, harimau bintang itu sudah ingin berlalu pergi ketika tiba-tiba ia ternampak seekor anak beruk yang masih kecil sedang tergolek di atas rumput kering berhampiran ibu beruk yang menjadi mangsanya tadi. Rasa kasihan dan kasih-sayang yang disalurkan oleh Allah terus mengubah harimau pemangsa yang tadinya rakus dan ganas menjadi lembut dan belas kepada seekor anak beruk. Anak itu dijaga dan dilindunginya sehinggakan tertidur dalam kehangatan pelukan kasih sayangnya.
Leopard take care of baboon
Pada garisan kaki langit, matahari sudah mula bergerak perlahan untuk memberikan laluan pada sang bulan pula untuk menerangi malam. Namun ia juga meninggalkan sekumpulan dubuk yang sedang kelaparan kerana tidak dapat menangkap seekor anak zirafah yang sudah dua hari mereka hajatkan. Anak zirafah itu belum dapat berjalan pun untuk lari dari mereka tapi mereka tidak dapat menghampiri anak itu yang dikawal rapi oleh ibu zirafah yang tinggi lagi besar. Tapi garis lintang ufuk yang mula memerah jingga  gelap pekat itu memudahkan kerja mereka untuk mendapatkan mangsa. Lalu dengan kerjasama satu pasukan, dubuk-dubuk itu berjaya mengheret anak zirafah yang masih lemah itu sejauh-jauhnya dari si ibu zirafah. Anak itu menjadi hidangan untuk santapan makan malam mereka pada hari itu. Si ibu zirafah yang kehilangan anaknya itu akhirnya redha dengan ketetapan takdir.
Girrafe with Hyena-a park at Tanzania
Dalam sebuah pondok usang di malam gelap sunyi. Kedengaran suara anak-anak yang merintih menangis kerana kelaparan. Si ibu yang tidak sampai hati melihat kesengsaraan anak-anaknya itu berhempas-pulas mencari sesuap makanan di dapur rumah buruknya itu, namun gagal. Kedutan di dahinya berkerut tanda resah dan gelisah kerana tahu tidak mampu mengisi perut-perut lapar itu, perutnya sendiri pun berkeroncong lagu yang tidak berirama. Sudah beberapa hari keluarga itu tidak makan kerana kedhaifan hidup. Lalu si ibu tidak ingin putus-asa, segera diambilnya beberapa ketul batu lalu dibakar atas dapur. Anak-anak berhenti menangis ,menunggu batu yang mereka sangka roti itu masak, lalu mereka tertidur kerana lama sangat menunggu. Si ibu menyerahkan nasib mereka kepada Allah seratus-peratus. “Ya Allah, bantulah kami wahai Tuhan Pemilik Alam, Raja Langit dan Bumi, Penguasa Dunia dan Akhirat.” Namun tidak disangkanya doa nya itu dimakbulkan oleh Allah dengan menghantar seorang asing yang mengunjungi rumah mereka dengan membawa bekalan makanan sebagai hadiah kepadanya dan anak-anak. Si anak-anak kecil yang tadinya tertidur menahan perit sakit kelaparan segera dikejutkan lalu disuapkan makanan dengan penuh kasih-sayang. Sambil itu mulutnya tidak putus-putus berterima-kasih kepada pemuda yang berhati mulia itu, lalu dia sujud bersyukur kepada Allah yang memberikan rezeki kepada mereka. Alhamdulillah Ya Allah.
Dedaun, pepohon, pasir-pasir, gurun-gurun, padang rumput, batu-bata, air, gunung-ganang, gumpalan awan ,bulan ,bintang dan matahari galak menyaksikan kasih-sayang hebat makhluk bergelar ibu. Dan sudah tentunya Allah Yang Maha Mengasihi dan Menyayangi hamba-hambaNya sudah mengaturkan dari awal setiap kejadian.  Tidak kira lah ia adalah manusia, monyet, burung, harimau bintang, zirafah atau apa pun ia, sekali Allah titipkan naluri kasih-sayang ibu ke dalam hati dan jiwa makhluk-makhluk ini, maka mereka akan bertindak mengikut naluri ibu iaitu  belas simpati, kasih-sayang, melindungi, lemah-lembut, jujur, amanah dan yang paling besar ialah pengorbanan. Cuma, bezanya apabila kita bergelar insan, yang sudah tentunya dianugerahi akal oleh Allah, seorang IBU yang mempunyai akal yang waras, akan mengajar dan membimbing anak-anaknya mengenal Allah ,dan meredhai anak-anaknya adalah amanah dari Allah yang perlu dipupuk dan diberi pengetahuan agama supaya mereka cemerlang dunia dan akhirat. Maka Allah akan terus titipkan rasa cinta dan kasih-sayang yang erat antara ibu dan anak selama-lamanya, sehinggakan seorang ibu masih memerlukan doa daripada anak-anaknya yang soleh solehah untuk perlindungannya di akhirat kelak.
Kasih ibu adalah kasih dari Allah SWT


IBU ,satu perkataan yang cuma mengandungi 3 huruf, namun jika dipinta, sanggup menggadaikan nyawanya sendiri sebagai jaminan keselamatan anak nya. Inilah besarnya pengorbanan dan kasih-sayang seorang IBU. Tapi jika kita melihat kasih-sayang seorang ibu yang amat sangat terhadap seorang anak di muka bumi ini, Allah lebih Menyayangi hamba-hambaNya lebih banyak dari kasih ibu ini.
Wallahualam.

Perkongsian dlm blog ini adalah bersumberkan dari pengalaman hidup sendiri dan ada juga yang di copy paste dari laman sesawang milik kekawan:) jadi utk copy paste dari blog saya boleh ,cuma masukkan link skali ye utk memudahkan proses rujukan inshaAllah. semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat utk kite smua inshaAllah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan