Jom Solat Jemaah

Rabu, Mac 13, 2013

BEROK DAN BUNGA


BEROK DAN BUNGA

03FEB
1fb8d2d7c882fbaba1a2c09d1d9cbe68_LHari kekasih, hari eksploitasi dan manupulasi rasa cinta untuk menderhaka kepada Pencipta cinta (Allah).
Atas dorongan untuk meraikan cinta kononnya, batas akidah, syariat dan akhlak dilanggar semahu-mahunya. Cinta yang dicipta indah oleh Allah yang Maha indah, menjadi punah. Dikotori oleh pemujanya seperti kera yang merosakkan bunga.
Cinta yang suci untuk tujuan yang suci telah dicemari. Cinta yang berfokuskan seks – yakni cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan itulah yang dipuja oleh manusia yang bertamadun!
Mengapa jadi demikian? Ini kerana masih ramai manusia yang sedang mengalami kekosongan jiwa (emptines). Hidup hanya untuk memenuhi kehendak nafsu yang inginkan kepuasan material dan fizikal, urat, daging dan tulang. Apabila persoalan paling ‘basic’ (asas) dalam hidup tidak terjawab dengan tuntas… Itulah akibatnya.
 Apakah persoalan itu? Ya, mengapa kita dihidupkan? Orang Islam yakin bahawa Allah tidak mencipta manusia sia-sia. Manusia punya tugasan dan peranan yang sangat besar. Al Quran menegaskan Allah ciptakan manusia dengan tujuan menjadi hamba-Nya dan khalifah di muka bumi.
 Selagi kita berpegang kepada tujuan hidup ini dan melaksanakannya, hidup kita akan dipenuhi ketenangan. Kekosongan jiwa, minda dan masa kita akan terisi dengan sepenuhnya. Kita boleh melaksanakan apa jua aktiviti yang tidak terkeluar daripada kerangka tujuan hidup yang telah ditentukan Allah itu. Selagi manusia bertindak selaras dengan tujuan penciptaannya, maka selagi itulah ia akan tenang, selamat dan bahagia.
 Sebaliknya jika tujuan hidup ini diabaikan, maka kekosongan jiwa pun berlaku. Pada waktu itu jiwa meronta-ronta bagaikan ikan tanpa air. Akibatnya, manusia terus mencari. Pencarian ini bukan menambah ketenangan, tetapi tambah mengusutkan.  Apabila panduan Islam diabaikan, maka jalan atau kaedah yang salah telah dipilih.
 Pada waktu inilah budaya hidup Barat mencelah. Remaja menyangka budaya Barat itu penawar yang akan memberi hiburan dan ketenangan. Padahal ia adalah racun yang sangat bisa. Bukan sahaja masalah yang sedia ada tidak akan selesai, malah masalah yang sedia ada pun akan semakin membesar. Itulah bahana budaya Barat yang menawarkan kepada remaja kita produk yang bernama “Hari Valentine”.
 Malangnya, produk itulah yang sentiasa dipromosikan dan diiklankan sehingga menjadi budaya secara langsung ataupun tidak. Apabila sudah menjadi budaya, yang palsu nampak benar, yang salah nampak indah dan hebat. Remaja, yang masih membina kematangan akan terpengaruh untuk menerima. Dirasanyakan yang datang dari Barat itu semuanya baik, hebat dan agung belaka. Apatah lagi yang menjadi figur mempromosikan budaya buruk ini adalah artis atau celebriti yang menjadi pujaan para remaja itu selama ini. Maka mudah mereka terikut.
 Lagipun ada sesetengah berpandangan tidak ada implikasi agama dalam soal ini. Apa salahnya, cuma hiburan, cuma suka-suka… Sedangkan mereka tidak sedar semua ini ada kesan dari segi mempengaruhi fikiran, hati, perasaan dan sikap seseorang.  Sesuatu yang dilarang oleh Islam, pasti ada kesan buruk pada hati, jiwa dan perasaan samada disedari atau tidak, samada jangka panjang atau jangka pendek.
 Kesan yang paling cepat ialah remaja kita akan ikut menyerupai mereka dari segi cara berfikir, emosi dan jiwa. Akhirnya, ini akan mempengaruhi tingkah laku dan kelakuan. Rasulullah  SAW bersabda: “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum ia akan menjadi kaum itu.”
 Sebenarnya, perayaan Hari kekasih bukan semata-mata perayaan luaran sahaja. Ia datang dalam bentuk pakej yang yang ‘menyerang’ remaja secara multi dimensi.  Ia datang dengan idea kebebasan tanpa batas seperti pendedahan aurat, pergaulan lelaki-wanita  secara bebas, tarian, lagu dan unsur-unsur hedonisme yang cukup membahayakan. Perayaan itu bukan setakat pemberian hadiah, kad atau bertukar-tukar ucapan, tetapi diiringi pertemuan, sentuhan dan lain-lain yang jika tidak diawasi dan dibatasi syariat pasti mencecah batas-batas ‘menghampiri zina’.
 Bila hari kekasih diuar-uarkan dengan segala bentuk dan elemennya, dan ia diterima sebagai satu budaya yang biasa… Para remaja akan menerima itu sebagai satu isyarat  ‘menghalalkan’ sesuatu yang dilarang oleh Islam sebelum ini.  Tanpa disedari, remaja yang terpengaruh dengan sambutan Hari kekasih ini akhirnya, menjadi lali dan akhirnya ketagih dengan apa sahaja yang datang dari barat, yang kononnya agung dan canggih. Pada ketika itu generasi kita sebenarnya sudah dijajah kembali dari segi minda dan akan terus menjadi bangsa pengguna (konsumer) bukan pencipta dalam arus globalisasi masakini.
 Bila Islam melarang sesuatu, pasti ada rasional di sebalik larangan itu. Cuma sebagai manusia, kita kekadang belum nampak apa rasionalnya pada peringkat awal. Ilmu manusia yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Inilah yang dikatakan suruh atau larang dalam Islam adalah berasaskan iman kepada Allah. Kita beriman kepada Allah dalam ertikata kita yakini Allah SWT maha Bijaksana, maha  Penyayang, Maha Belas Kasihan untuk tidak menganiayai hamba-hambaNya dalam apa jua perintah suruh dan larang-Nya.
 Mengapa hari Kekasih dilarang untuk disambut oleh orang Islam? Sebab sejarah sambutan hari itu sendiri sudah dikaitkan dengan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Apabila kita turut merayakannya, seolah-olah kita juga turut merelai atau meredhai kebenaran akidah mereka. Seperkara lagi, apakah Islam yang kita anuti, malah agama yang paling unggul di dunia, sudah ketandusan cara untuk menghargai rasa kasih sesama manusia?
 Islam punya kaedah sendiri yang lebih benar dan tepat untuk meraikan rasa kasih dikalangan manusia. Namun Islam hanya membenarkan rasa kasih itu dijalinkan dalam bentuk ikatan yang sah agar rasa cinta dibina atas asas-asas yang kukuh, mulia dan terhormat.
 Cinta dalam Islam mesti diasaskan pada tanggung-jawab, pembelaan, pendidikan, penjagaan dan perlindungan atas nama Allah. Cinta mertabat tinggi ini lebih sejati dan hakiki berbanding cinta di atas kad ucapan, kotak hadiah, lagu, pakaian, cincin dan lain-lain elemen Hari kekasih. Hari pertunangan,  pernikahan, ulang tahun perkahwinan, hari mendapat cahaya mata… adalah hari-hari kekasih yang sepatutnya disambut meriah dengan erti dan makna yang lebih mendalam dan ikhlas. Bukan seperti Hari Valentine yang bersifat luaran, gimik dan penuh kepura-puraan yang acapkali untuk mewajarkan sahaja pelempiasan hawa nafsu seks atas nama cinta suci!
 Ingatlah, tidak akan ada kebahagiaan yang sejati dengan melanggar hukum Allah. Ini sepatutnya diterima dengan hati yang terbuka, dengan penuh kesedaran bahawa Tuhan yang mencipta manusia maka Dialah yang paling arif menentukan apakah yang diperlukan oleh manusia untuk tenang dan bahagia. Jika kita mencintai Allah yang Maha Pengasih, kita akan mampu mengasihi sesama manusia pada setiap masa, keadaan dan ketika. Bagi orang Islam setiap hari adalah Hari Kekasih!
Posted by  di 3 Februari 2013 in Tarbiyah

Perkongsian dlm blog ini adalah bersumberkan dari pengalaman hidup sendiri dan ada juga yang di copy paste dari laman sesawang milik kekawan:) jadi utk copy paste dari blog saya boleh ,cuma masukkan link skali ye utk memudahkan proses rujukan inshaAllah. semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat utk kite smua inshaAllah

Sabtu, Mac 09, 2013

ANDAINYA HARTAWAN ITU TAHU…


Untuk memberi, kita mesti memiliki dan untuk memiliki kita mesti mencari. Mencari, memiliki dan memberi – adalah tiga jalan untuk mendapat kecintaan Allah dengan memberikan kasih sayang sesama manusia.
Namun, itu mudah dari segi ilmunya… apabila tiba pada tahap melaksanakannya, kita pasti teruji. Kerana mencari, memiliki dan memberi sering terusik ketertibannya.
Sering kita dituntut untuk memberi sebelum memiliki. Adakalanya, baru berusaha… sudah ditagih oleh yang meminta. 
Tahun 1434 H dan menjelang 2013, akan saya usahakan untuk mencari sebanyak-banyaknya supaya dapat memberi sebanyak-banyaknya juga. Saya menjadi serba-salah, untuk ‘tawar-menawar’ apabila diminta untuk memberi kuliah atau ceramah… Niat hati untuk menyampaikan secara percuma belum kesampaian. Bayangkan, dengan cabaran dan hambatan mengurus keluarga dengan keterbatasan masa dan tenaga, kekadang memberi kepada masyarakat terdesak oleh keutamaan memberi kepada keluarga. Bukan untuk bermewah-mewah, cuma ditahap memenuhi keperluan dan kemudahan.
InsyaAllah, mudah-mudahan saya dapat menulis sebanyak-banyaknya dan hasil daripadanya saya tidak payah lagi mengenakan sebarang ‘imbuhan’ untuk berceramah dan berkuliah. Kerana pada saya apa yang paling kita cari dalam hidup ini ialah HATI EMAS… itulah hati yang ikhlas. Hati yang merasakan hidayah Allah itu lebih berharga dari segalanya. Hidayah milik Allah, namun alangkah indahnya jika hidayah itu dilalukan Allah melalui diri kita sebelum sampai kepada orang lain. Seperti yang sering diungkapkan oleh Prof Muhaya, bahagia itu apabila kita membahagiakan!
Namun, ajal maut di tangan Tuhan. Jangan tunggu berharta untuk berjasa. Jangan nanti sampai benar-benar memiliki baru hendak memberi. Bahagia itu pada ketenangan, kejayaan itu pada kebenaran. Sampaikanlah kebenaran untuk mendapat kebahagiaan. Yang sedikit, akan membukit apabila diberi dengan keikhlasan. Yang seraut akan melaut apabila dicari dengan niat untuk memberi. Ya Allah, tidak akan berkurangan orang yang memberi keranaMU. Apa yang aku dan kita semua alami sekarang hanyalah ujian dalam memberi… apakah kita mampu memberi semasa sedang mencari, sebelum benar-benar memiliki!
Jangan tunggu berkuasa untuk berjasa. Jangan tunggu berharta untuk berbakti kepada yang derita. Pada pagi Jumaat ini terimalah bingkisan ini seadanya. Bukan emas gemerlapan… dariku cuma peringatan:
Andainya hartawan itu tahu…. 
Pernah diungkapkan, tidak mengapa jika kaki mu yang sakit, asalkan hati mu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai, orang yang punyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun di kelilingi keseronokan.
Allah yang Maha adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Jika demikian, si miskin, si hodoh, si marhaen dan “kelana tanpa nama” akan terpinggir dalam mencari kebahagiaan. Setiap hambaNya tidak akan terasa dipinggirkan. Allah tidak zalim. Dia meletakkan kebahagiaan pada ketenangan ‘hati emas’ – hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita, hamba atau raja.
Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan ‘disesah’ oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan ganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalanNya.
Juseru, apabila tiba saat diuji – detik perpisahan, kesedihan, kemiskinan, penghinaan, kesepian (namakan apa sahaja), jangan lari, tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Tunggu dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat!
Bila sudah tiba di dasar paling bawah, kepala yang di julang sudah menjunam ke dalam jurang… tentu sudah tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” pada kejayaan. Kita sudah merasa kepahitan pada ubat yang ditelan.
Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tidak ada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya: Hati emas!
Memburu selainnya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres, tekanan dan kebosanan. Betapa ramai jutawan, hartawan, rupawan, bangsawan dan kenamaan dimusnahkan oleh rasa bongkak, obsesi diri, kemurungan dan zina. Naik ke puncak untuk terjun ke dasar yang paling bawah.
Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuh solat lima waktu dengan segala rawatibnya. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca Al Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam. Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu-daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, jika kita enjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!  
Itulah yang sering diungkapkan oleh para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah), “andainya para hartawan tahu betapa lapang dan tenangnya hati apabila bangun malam, nescaya mereka akan meninggalkan seluruh kekayaan mereka untuk mendapat ketenangan itu!
(Adaptasi  bicaraku dalam buku DI MANA DIA DI HATIKU?)
About these ads

Perkongsian dlm blog ini adalah bersumberkan dari pengalaman hidup sendiri dan ada juga yang di copy paste dari laman sesawang milik kekawan:) jadi utk copy paste dari blog saya boleh ,cuma masukkan link skali ye utk memudahkan proses rujukan inshaAllah. semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat utk kite smua inshaAllah